Arwah dengan anak muridnya
Perlahan ku langkah ke dalam biliknya. Air mata yang menitis ku kesat.
"Kalau kamu sayang sensei, jangan menangis!" tegas Ustazah mengingatkan.
Tidak mahu menyeksa rohnya ku tabahkan jua hati melihat tubuh kaku terbaring. Badannya yang diselimuti ku pegang tangannya. Tudung bawal diselak perlahan-lahan senyuman yang tidak pernah lekang dari wajahnya. Alhamdulillah sehingga ke akhir hayatnya aku berpeluang melihat senyuman manis itu. Ku pandang lama seolah-olah untuk menyimpan gambar mukanya dalam kotak memori. Buat kali terakhir. Ya, buat kali terakhir. Air mata bergenang, terimbas bagai layar di hadapan mata, dia yang masih bernyawa.
Dia yang dahulunya mengajar aku bermain bola tampar. Tangan ku yang keras bisa dilenturkan atas ajarannya. Bola yang ditampar makin hari makin cantik meyusuri jaring. Masa yang diluangkan setiap petang untuk melihat kami berlatih. Ku dapat lihat semangatnya di situ, membetulkan apa yang salah menegur mana yang silap sehingga dapat puaskan hatinya. Terima kasih sensei.
Dia yang dahulunya galak mentertawakan aku kerana berjaya mengenakanku sewaktu hari lahirku yang ke-14. Teringat waktu dia bersengkongkol membuatku sehingga menangis. Gelak tawanya yang girang, senyuman manis lesung pipitnya bagai terimbas perlahan lahan. Aduh, betapa aku rindu saat itu. Andai itu dapat membuatkan dia gembira, aku sanggup ditertawakan walau berjuta kali pun.
Dia yang sepanjang pengajarannya tidak pernah meninggikan suara apatah menengking. Walau sebebal mana, walau senakal mana, sabarnya begitu utuh untuk mencurahkan ilmu. Teringat sewaktu dia menghalau pelajar ponteng riadah, salah seorangnya aku. Teringat saat terkantoi ponteng koko dalam bilik pili. Sebesar mana kesnya, tidak pernah telingaku menangkap caci makinya. Hanya yang kedengaran teguran dan nasihat lembut. Aku tahu, dia tegur kerana dia sayang. Dia yang ku anggap sebagai ibuku, ku menuruti nasihatnya dan sampai disitu ke berhenti melakukan kegiatan nakalku. Pernah sekali, dia sangat marahkanku. Namun bila tangan ku hulur memohon kemaafan, tetap disambutnya walau ku tahu hatinya terluka. Maafkan saya, sensei, Maafkan saya.
Pelajaran Jepun yang tidak ku minati sampai sekarang ku tetap teruskan kerana dia. Bila dia meninggalkan dunia yang fana ini, minatku yang baru muncul terbang mengikutinya. Pesanan mu untuk belajar rajin-rajin dan menghormati guru akan ku ingat sampai bila-bila. Semangatku melayang bila terpaksa meneruskan pembelajaran Jepun tanpa bantuan mu. Semangatku hilang tatkala menyelak helaian Jepun, ku lihat bekas tandatangannya, ku lihat ucapan tahniahnya, wajahmu yang kaku terbayang di tubir mata. Demi mu, sensei akan ku penuhi amanat terakhirmu, untuk lulus peperiksaan selaras SBP Bahasa Jepun Selasa ini. Saya sayang sensei, tenanglah sensei di sana. Sesungguhnya Allah lebih menyayangimu :)
Al-Fatihah.
1 comment:
salam .. teruskan perjuangan .. Al-Fatihah buat Normaya sensei ...
Post a Comment